A World Without Islam

Dunia pasca 9/11 diwarnai dengan segala macam peristiwa yang memperlihatkan kekacauan hubungan antarabangsa– serangan berani mati, penculikan, penaklukan tentera asing, rusuhan agama, serangan gerila, Islamophobia, peperangan ke atas keganasan, pejuang pemisah dan pelbagai lagi warna-warni dunia antarabangsa - dipertalikan kepada Islam; kebanyakannya secara negatif. Islam menjadi semacam kambing hitam kepada semua kekacauan yang terjadi kepada dunia hari ini. Dari kaca mata barat, Islam menjadi satu jawapan mudah kepada semua permasalahan dunia hari ini. Tanpa perlu menganalisa dengan teliti dan saksama, Islam dikatakan sebagai satu agama yang didestinasikan untuk tidak mampu beradaptasi dengan perubahan dunia moden sehingga menyebabkan penganutnya memilih jalan ekstrem dalam berhadapan dengan permasalahan dunia hari ini.
Tapi apakah jawapan kepada permasalahan-permasalahan kompleks ini dapat dirungkai semudah itu?
Dalam buku “A World Without Islam”, Graham E. Fuller seorang pemikir Amerika yang juga bekas timbalan pengerusi National Intelligence Council di CIA, cuba merungkai permasalahan ini dengan meyediakan satu hipotesis – apakah dunia tanpa Islam merupakan sebuah dunia yang berbeza dari dunia yang kita kenal hari ini? Apakah tanpa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w dan penyebaran agama Islam ke hampir ¾ bahagian dunia sejak abad ke-7 akan menjadikan dunia hari ini sebuah dunia yang lebih baik?
Secara intensif Fuller membawa pembaca menelusuri sejarah perhubungan Timur-Barat sejak zaman sebelum Islam (Byzantine - Rom), zaman kebangkitan Islam, perang salib, reformasi agama di barat, penjajahan barat sehinggalah kewujudan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia hari ini.
Secara mendalam juga beliau mengkaji dan mencerakinkan sejarah pertembungan Islam dengan tamadun-tamadun dunia yang lain mencakupi tamadun India, China, Cristian-Ortodoks (Byzantine & Russia) dan tamadun Barat.
Sepanjang perjalanan itu Fuller menghujahkan bahawa setiap konflik yang berlaku di antara Islam-Barat bukanlah produk agama semata-mata. Bagi beliau yang lebih mendominasi setiap konflik Timur-Barat (dibaca Islam-Barat) itu adalah lebih kepada pertembungan pengaruh, kuasa, ekonomi, geopolitik dan sejarah sebagaimana yang telah mewarnai pertembungan dunia barat-timur sejak lama dahulu.
Beliau menyimpulkan bahawa, jika pun dunia hari ini tidak pernah mengenal Islam sebagai satu agama dan tamadun, dengan perjalanan sejarah yang tertulis sekian lama, dunia hari ini dengan segala konflik yang berlaku tidak akan ada bezanya. Ini kerana, yang lebih mendasari semua permasalahan ini bukan lah agama tapi kuasa, pengaruh, geopolitik dan sejarah.
Fuller, seperti mana kebanyakan penganut Islam di serata dunia, hampir berkongsi sentimen dan pandangan yang sama apabila membicarakan peranan Barat terhadap segala konflik dunia hari ini, bahawa kesan bagi tindakan imperialisme dan kolonialisme barat pasca kejatuhan Khilafiah Othmaniah serta agenda neo-kolonialisme yang didukungi Amerika kini telah mencorakkan percaturan politik dunia kepada ruang ‘aku-engkau’ yang memaksa dunia Islam yang lemah mencari jalan menegakkan maruah yang sekian lama tercalar, sama ada secara aman mahupun secara keras.
Beliau juga mencadangkan penyelesaian yang lebih rasional terhadap masalah keganasan yang menghantui dunia hari ini dengan menyarankan Amerika (dan barat) melihat perkara keganasan ini melangkaui tembok agama sebaliknya memahami realiti yang berlaku adalah produk daripada sebab-akibat sejarah, politik dan kuasa.
Antara cadangan beliau yang saya kira senada dengan pandangan masyarakat Islam sedunia contohnya:
· Western interventionism and military and political actions in the Muslim world — all highly provocative to Muslims — must cease so that the area can begin to calm. This means withdrawal of all US and Western forces from Muslim soil.
- The United States must withdraw its special support from pro-American dictators.
- Democratization must be allowed to proceed in the Muslim world, but Washington must not be the vehicle for its implantation.
- An early solution to the Palestinian problem must be found. …the general outlines of which are well known to all parties. The Israeli colonization efforts in Palestinian territories must end and be reversed.
- If only a tenth of the potentially one trillion dollars squandered by Washington on Middle East wars, which have sown death and destruction with little to show for it, could be devoted to building schools, universities, hospitals, clinics, and training institutes, the region would be transformed, the US image would soar, and huge regional progress could be made in living conditions.
Saya kira buku ini ialah satu bacaan hebat yang membawa wacana Islamphobia (dan juga anti-Amerika) yang selalu tersasar perbicaraannya kembali ke landasan yang lebih waras . Walaupun pada dasarnya buku ini ditulis untuk bacaan dunia barat agar mereka dapat melihat isu-isu yang melibatkan masyarakat Islam secara lebih berimbang dan waras, namun ini juga sangat sesuai dibaca oleh masyarakat Islam umumnya bagi meluaskan horizon pemikiran kita tentang sejarah hubungan timur-Barat dan memahami pemikiran alternatif dunia barat terhadap konflik yang melanda dunia Islam hari ini.


